Terengganu memperoleh tiga mata dalam kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan Liga Super pada Selasa tetapi ia tidak cukup untuk meredakan kebimbangan ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner.
Jurulatih dari Croatia itu mempunyai kebimbangan terhadap kecergasan pemain kerana pasukannya akan menghadapi ujian getir menentang Selangor pada aksi kedua separuh akhir Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Sabtu ini.
Dia berharap mereka akan segar dari segi fizikal untuk perlawanan itu.
“Pemain kini berada dalam keadaan kepenatan dengan kekurangan kecergasan selepas melalui jadual yang agak padat sejak kebelakangan ini,” kata Steinbruckner.
“Kami akan memberi lebih tumpuan kepada pemulihan dan cara menyediakan pasukan kerana beberapa pemain mengalami kecederaan.
“Alif (Zakaria) keluar. Saya harap Ismaheel (Akinade) dan Shahrul (Nizam Ros Hasni) dapat kembali.
“Steenvordeen (Matthew Steenvordeen) tidak teruk tetapi dia tidak cergas sepenuhnya dan mesti bekerja keras.
“Tetapi ia boleh difahami kerana selepas tujuh bulan di sini, dia hanya bermain dua perlawanan selepas lama pulih daripada kecederaan,” katanya.
Gol Terengganu dijaringkan oleh Safawi Rasid (ke-45), Nnabuike Chukwu Chijioke (ke-49) dan Akhyar Rashid (ke-59) manakala Mika Junco (ke-16) dan Jacque Faye (ke-53) meletakkan nama mereka dalam senarai penjaring untuk Negri.
“Tahniah kepada pasukan saya kerana mendapat tiga mata malam ini tetapi kami kelihatan letih,” kata Steinbruckner.
“Negri mengawal permainan dalam 20 minit pertama dan menjaringkan gol kerana kesilapan kami. Kami berjaya mencipta beberapa peluang dan menjaringkan gol pada akhirnya menerusi sepakan percuma Safawi.”
Kemenangan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin membolehkan Terengganu mengumpul 11 mata, meletakkan mereka di kedudukan ketiga, tujuh mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Memandangkan situasi yang dihadapi Terengganu, Steinbruckner mengakui keperluan untuk menyusun strategi lebih mantap menentang Selangor dalam misi mereka untuk mendapatkan tempat ke final Piala FA.
“Kami mendapat keputusan 3-2 (dalam perlawanan separuh akhir pertama) dan kami bersedia menghadapi cabaran lebih getir untuk layak ke final.
“Selangor perlu menjaringkan dua gol untuk menang. Saya harap kita boleh mencipta peluang. Untuk mara ke final, kami perlu bermain lebih baik,” tambahnya.f